Isnin, 14 November 2011

         Soalan 1
Apakah benda atau alat-alat yang boleh dibuat bersuci dengannya?

Alat atau bahan yang harus kita bersuci dengannya sama ada untuk mengangkat hadas atau pun menghilangkan najis dan sebagainya adalah seperti berikut:
Air mutlak :
Boleh digunakan untuk semua keperluan termasuklah membasuh najis dan mengangkat hadas dan sebagainya

Debu tanah :
Diharuskan untuk bertayammum samada hadas kecil atau hadas besar bagi membolehkan kita bersolat dengan beberapa syarat tertentu sebagai menggantikan air

Tanah :
Menyamak dari kesan-kesan najis mughallazah, disamping menggunakan air,

Batu dan seumpama dengannya:
Diharuskan kita beristinjak semata-mata dengannya ketika ketiadaan air atau berserta dengan air. 
 
Soalan 2
 Bolehkan sebutkan semua jenis air dan hukum-hukumnya?

Air terbahagi kepada 4 bahagian:
Pertama: Air mutlak atau air tabie iaitu air yang tidak dikaitkan dengan sesuatu jenama tertentu. Maka hukumnya adalah suci lagi menyucikan. Contohnya air hujan, air laut, air perigi, air embun dan sebagainya.
Kedua: Air musta'mal iaitu air yang sedikit (kurang dari 2 kolah) yang telah digunakan bagi sesuatu yang fardhu, atau yang bercampur dengan sesuatu yang suci sehingga menyebabkan berubah warna, rasa dan baunya. Hukumnya adalah suci pada dirinya tetapi tidak menyucikan yang lain.
Ketiga: Air mutannajis, iaitu air yang sedikit yang jatuh najis kedalamnya maka hukumnya adalah tidak suci dan tidak menyucikan.
Keempat: Air musyammas iaitu air yang terjemur atau di jemur di bawah panas matahari yang terik dalam bekas yang boleh berkarat, maka hukumnya adalah suci lagi menyucikan tetapi makruh digunakan pada badan. 

[Daripada 'Aisyah r.a, bahawasanya ia telah memanaskan air pada cahaya matahari, lalu Baginda bersabda terhadapnya, janganlah engkau berbuat demikian wahai 'Aisyah,sesungguhnya air tersebut boleh mendatangkan penyakit sopak.]


Soalan 3
Bagaimanakah dengan air atau air telaga yang jatuh najis ke dalamnya?Adakah boleh digunakan untuk berwuduk?

Ya, memang boleh digunakan. Air sungai yang banyak yang lebih dari 2 kolah yang didapati najis di dalamnya adalah suci selagi mana tidak mengubahkan sifat-sifat air itu seperti warna, rasa atau bau.

Sabda Rasulullah s.a.w di dalam sebuah hadisnya yang bermaksud "apabila adalah air sebanyak dua kolah maka tidaklah ia menanggung najis.

Soalan 4
Apakah yang harus dilakukan supaya air musta'mal atau mutanajjis itu dapat digunakan untuk bersuci?

Air musta'mal atau air mutanajjis itu boleh digunakan iaitu dengan cara hendaklah ditambahkan hingga sampai 2 kolah atau lebih, kemudian lihatlah kalau tidak didapati sebarang perubahan pada sifat-sifat air tadi maka di waktu itu ia sudah menjadi suci lagi menyucikan, begitulah juga umpama air dalam sebuah perigi yang berubah sifatnya dengan sebab jatuh najis kedalamnya, atau dikurangkan airnya sedangkan bakinya masih melebihi dua kolah, atau dengan dibiarkannya berapa lama, kemudian dengan sebab itu lalu hilanglah perubahan pada air tersebut, maka di waktu itu air tersebut sudah kembali menjadi suci sebagai air mutlak.

Soalan 5
Kalau air dalam sebuah takungan atau kolam yang berubah sifatnya seperti rasanya masam atau warnanya kehitaman, apakah pula hukumnya?

Sekiranya air dalam sebuah takungan atau kolam itu melebihi dua kolah dan berubahnya dengan sebab lama bertakung, maka air tersebut hukumnya adalah suci dan boleh digunakan untuk berwudhuk dan sebagainya Tetapi kalau air itu berubah disebabkan najis yang jatuh ke dalamnya, maka tidak syak lagi air tersebut tidak boleh digunakan untuk bersuci.

Soalan 6
Apakah yang dimaksudkan dengan sifat-sifat air itu? 

Ijmak para ulama' mengatakan bahawa sifat-sifat air itu ialah warna, bau dan rasa. Maksudnya di sini ialah sekiranya air sungai dan perigi berubah salah satu dari sifat-sifat tersebut dengan disebabkan oleh jatuh najis ke dalamnya maka di waktu itu tidaklah boleh dibuat bersuci dengannya lagi.

Sabda Rasulullah s.a.w "Bahawasanya air itu tidak dinajiskan ia oleh sesuatu   melainkan barang yang mengerasi atas baunya, rasanya dan warnanya"(Riwayat Ibnu Maajah)

Soalan 7
Apakah pula hukumnya berhubung dengan air kelapa atau air sirap dan sebagainya?

Air-air tersebut dan sebagainya adalah suci tetapi tidak menyucikan. Maksudnya ialah ia boleh diminum tetapi tidak boleh mengangkat hadas atau menghilangkan najis dengannya.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
Copyright (c) 2010 I s l a m . i s . T h e . W a y . o f . L i f e. Design by Wordpress Themes.

Themes Lovers, Download Blogger Templates And Blogger Templates.